1. Pendekatan Pengajaran Pendidikan Islam
a. Bersepadu
Mengitegrasi atau menyerap beberapa kemahiran sewaktu menjalankan pengajaran dan pembelajaran. Biasanya dalam pendekatan ini kemahiran-kemahiran belajar dan memperoleh ilmu diajarkan serentak semasa guru mengajar. Kemahiran yang diserap dalam mata pelajaran dijadikan fokus secara sampingan tetapi terancang.
b. Induktif
Merupakan pendekatan yang memberi peluang kepada pelajar membuat kesimpulan sendiri mengenai sesuatu konsep atau benda. Melalui pendekatan ini guru akan memulakan pengajaran dengan memberi sebanyak mungkin contoh khusus sehingga pelajar dapat membuat suatu kesimpulan berkenaan apa yang cuba disampaikan oleh guru mereka.
c. Deduktif
Pendekatan ini bermaksud guru memberikan rumus-rumus atau teori-teori yang sudah diketahui umum, kemudian proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan di mana para pelajar menganalisis melalui contoh yang dibentangkan.
d. Qudwah Hasanah
Guru menjadi model kepada murid. Sebarang tingkahlaku guru akan ditiru oleh murid. Oleh itu guru perlulah sentiasa mempamerkan perilaku yang baik.
e. Kelas, kumpulan dan individu
Pendekatan yang dilaksanakan oleh guru melibatkan murid secara kelas, kumpulan dan individu. Sesuai dilaksanakan dengan menggunakan teknik latih tubi, seperti mengajar tilawah dan hafazan.
f. Berpusatkan Guru
Ialah pendekatan lama yang diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru memainkan peranan utama menguasai dan mengawal segala aktiviti sewaktu proses pengajaran dijalankan. Pelajar hanya mendengar sahaja penerangan guru. Komunikasi berlaku sehala sahaja. Gurulah yang banyak bercakap manakala pelajar hanya mendengar.
g. Berpusatkan Pelajar
Salah satu ciri utama KBSR dan KBSM adalah pelajar menjadi pemain utamadalam sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran mereka. Lebih banyak masa diperuntukkan kepada pelajar meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan bantuan guru yang bertindak sebagai fasilitator.