Kuliah Faraid Siri Pengenalan

PENGENALAN ILMU FARAID

1.1. Pendahuluan

Ilmu Faraid atau ilmu Pembahagian Harta Pusaka, adalah salah satu cabang ilmu yang penting dalam Islam. Rasulullah s.a.w. meletakkan ilmu ini di tempat yang sangat tinggi berbanding dengan ilmu-ilmu yang lain. Baginda s.a.w. bersabda yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amir bin al-‘As :
العلم ثلاثة وما سوى ذلك فهو فضل آية محكمة أو سنة قائمة أو فريضة عادلة
Maksudnya : Ilmu itu ada tiga dan selain daripada tiga itu hanyalah sebagai lebihan sahaja, iaitu Ayat Muhkamah (ayat hukum yang tidak dimansuhkan), sunnah yang sahih diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. dan ilmu untuk membahagikan harta pusaka yang adil.
(Riwayat Abu Daud dan Hakim)

Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan kita mempelajari ilmu faraid. Al-Hakim meriwayatkan daripada cAbdullah Bin Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
تعلموا القرآن وعلموه الناس وتعلموا الفرائض وعلموه الناس, فإني امرؤ مقبوض, وإن العلم سيقبض, وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنان فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها.

Maksudnya : Pelajariah Al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia; dan pelajarilah faraid serta ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah, sehingga dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, dan tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara keduanya.

Ibnu Majah dan Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
يا أبا هريرة, تعلموا الفرائض وعلموها, فإنه نصف العلم وهو ينسي وهو أول شئ ينزغ من أمتي.
Maksudnya : Wahai Abu Hurairah, pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia (kepada orang lain). Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang akan dilupakan, dan ia merupakan suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.

Oleh itu, kita dapati para sahabat, tabiin dan para fuqaha’ sangat giat mempelajari dan mengembangkannya. Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah menulis surat kepada Abu Musa al-Asyaari dengan menyebut :
اذا لهوتم فالهوا فى الرّمى, واذا تحدثتم فتحدثوا فى الفرائض
Maksudnya : Jika kamu bermain-main, maka bermain-mainlah dengan panah dan jika kamu bercakap-cakap, maka bercakap-cakaplah mengenai ilmu faraid.

Saidina Umar r.a. juga pernah berkata :
تعلموا الفرائض فانها من دينكم.
Maksudnya : Pelajarilah ilmu faraid kerana ia adalah sebahagian daripada agama kamu.

Dengan kesungguhan begini, lahirlah di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. yang masyhur tentang ilmu faraid. Antara mereka ialah Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Mas’ud dan lain-lain. Kemudian ilmu ini diwarisi oleh para tabiin dan para ulama selepas itu.

Imam Syafie r.a. memilih mazhab Zaid bin Thabit r.a. di dalam ilmu faraid, kerana mazhabnya paling mendekati kepada qiyas, dan juga kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :
أفرض أمتي زيد بن ثابت
Maksudnya : Yang paling pakar di antara umatku dalam ilmu faraid adalah Zaid bin Thabit.

Beliau memilih mazhab Zaid bin Thabit, bukanlah dalam erti beliau bertaklid kepada Zaid bin Thabit. Ini disebabkan seorang mujtahid tidak bertaklid kepada mujtahid yang lain, tetapi yang dimaksudkan ialah bahawa beliau meneliti dalil-dalil Zaid bin Thabit r.a. dan beliau dapati bahawa dalil-dalil tersebut kuat, maka beliau beramal dengannya.

Sekarang kita dapati ilmu faraid ini seolah-olah telah dilupakan orang. Bahkan semakin kurang mereka yang berkeupayaan dalam ilmu ini sehinggakan ia semakin kurang dibicarakan dalam majlis-majlis pengajaran, kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama sama ada di masjid, di surau, di sekolah dan di mana sahaja. Tidak hairanlah Rasulullah s.a.w. pernah menggambarkan ilmu adalah di antara ilmu yang paling awal akan dicabut dari kalangan umatnya, sebaagaimana hadith yang telah dipaparkan di atas.

Oleh yang demikian, kita dapati hari ini masyarakat kita semakin ketinggalan dalam memahami ilmu ini sehingga timbul bermacam-macam karenah dan masalah dalam soal pembahagian harta pusaka ini. Benarlah apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud tadi.

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Ilmu Faraid. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s