Renungan Bersama

MENYUBUR BUDAYA MENUNTUT ILMU DALAM
RUMAHTANGGA MUSLIM

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Allah meninggalkan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Mujadalah : 11)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Orang yang bertaqwa adalah orang yang bijak menguruskan diri dan keluarganya dalam merancang masa depan.mereka. Kekuatan iman yang ada di dada mendorong mereka menerokai segala ilmu Allah. Setelah minda terbuka, keyakinan diri dan keyakinan kepada Allah berlipat ganda. Amatlah tepat janji Allah bahawa orang seumpama ini akan dikurniakan darjah yang mulia. Oleh itu marilah kita bersama-sama mengukuhkan ketaqwaan melalui penerokaan ilmu Allah, sama ada ilmu-ilmu asas yang berteraskan fardu ain, dan seterusnya kita sempurnakan melalui penguasaan pelbagai ilmu yang menjamin kebahagiaan di dunia, iaitu ilmu-ilmu yang berteraskan fardu kifayah. Kita dituntut mengutamakan pendidikan yang bersepadu lagi seimbang untuk melayakkan kita memiliki darjah yang tinggi di sisi Allah sebagaimana yang telah disebutkan dalam ayat 11 surah al-Mujadalah di atas.
Umum mengetahui rumah adalah institusi pendidikan yang terawal dalam pembentukan syakhsiah dan peribadi mukmin. Individu yang lahir dari keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan akan menghasilkan impak yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Tidak dinafikan, bahawa ilmu pengetahuan merupakan satu alat yang paling berkesan dalam membentuk sesebuah masyarakat. Tidak ada masyarakat yang berjaya dan maju tanpa adanya ilmu pengetahuan. Islam telah meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan dan menitikberatkan penganutnya sentiasa mengkaji, meneliti, menyelidik, meneroka segala ilmu dan maklumat demi manfaat kehidupan. Kecemerlangan ummah serta pembinaan tamadun sesuatu bangsa adalah bergantung kepada sejauhmana penguasaan ilmu pengetahuan yang dicapai oleh bangsa itu.

Muslimin Yang Dimuliakan,

Membaca adalah satu sumber yang utama untuk menambah ilmu pengetahuan. Sebagaimana yang kita maklum bahawa, tuntutan pertama dan utama kepada manusia ialah saranan menuntut ilmu, kerana ianya merupakan asas pemikiran dan pembuka minda. Ini telah diperkukuhkan dengan turunnya wahyu pertama kepada Nabi kita Muhammad S.A.W dalam surah al-‘Alaq ayat 1-5 yang bermaksud :
“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa, permulaan wahyu yang pertama ini adalah perintah Allah yang ditujukan kepada nabi kita Muhammad S.A.W dan umat manusia seluruhnya bahawa membaca, menulis dan mencari ilmu pengetahuan adalah kewajipan yang wajib dilaksanakan. Justeru ibubapa perlu menyediakan suatu suasana yang menggalakkan pembacaan buku di kalangan anak-anak.

Ibubapa harus sentiasa memastikan pendidikan anak-anak terpelihara walau pun memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa. Sebagai ibubapa kita tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa cabaran sekalipun. Jika tidak, anak-anak akan rosak pegangan akidah, hilang kemurnian akhlak dan moral serta ketinggalan dalam arus pendidikan negara.

Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, mimbar menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.

Allah SWT menegaskan seksaan yang sangat berat jika ibubapa sengaja cuai atau bersifat khianat dengan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : ” Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Muslimin Yang Dimuliakan,

Bagi merealisasikan pembudayaan ilmu di rumah. Usaha yang bersungguh dan berterusan perlu dilakukan antaranya :

Pertama: Ibu bapa seharusnya menunjukan contoh dan teladan kepada ahli keluarga khususnya kepada anak-anak. Anak–anak perlu dipupuk dengan budaya minat membaca sejak dari kecil lagi. Ibu bapa juga perlu menjadikan amalan membaca bersama anak-anak sebagai suatu rutin harian di rumah, selain sentiasa membawa anak-anak ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan baru.

Kedua : Ibu bapa juga sepatutnya menyediakan peruntukan kewangan khusus untuk tujuan ini. Pengorbanan wang ringgit bagi membeli buku dan bahan-bahan bacaan yang bermanfaat untuk anak-anak adalah suatu pelaburan yang baik untuk masa depan mereka, sebagaimana perbelanjaan bulanan untuk membeli pakaian, membayar bil telefon, dan memenuhi segala kehendak yang lain.

Ketiga: Menyediakan sudut khas atau perpustakaan mini di rumah. Ini bagi memupuk minat membaca di kalangan anak-anak di samping memberi galakan serta ganjaran bagi anak-anak yang gemar membaca buku-buku ilmiah.

Muslimin Yang Dimuliakan,

Akhirnya, untuk melahirkan bangsa yang maju, hebat dan dipandang tinggi maka pembudayaan ilmu yang seimbang iaitu ilmu fardu ain dan fardu kifayah perlu diterapkan sejak dari kecil lagi. Perbanyakkanlah bahan bacaan dalam rumah kita semoga impian kerajaan untuk melahirkan Modal Insan dan pemikir kelas pertama menjadi kenyataan.

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Budaya Ilmu. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s