Kuliah Faraid Siri 3

Galakan Mempelajari Ilmu Faraid

Ilmu faraid merupakan ilmu yang sangat diambil berat dan dipandang tinggi oleh Islam. Ilmu faraid mempunyai hubungan dengan hal-hal yang bersangkutan dengan ikatan kekeluarga, nasab keturunan dan hubungan silaturahim. Tanpa mempelajari dan memahami ilmu ini, boleh membawa kepada pembahagian yang tidak betul dan meletakkan hak kepada orang-orang yang tidak berhak. Ia juga mengakibatkan kemungkinan berlakunya perpecahan kekeluargaan kerana salah faham, salah pengertian dan tafsiran, salah perhitungan dan perkiraan dan sebagainya yang boleh membawa kepada ketidakharmonian di kalangan ahli waris.

Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan kita mempelajari ilmu faraid. Al-Hakim meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

تعلموا القرآن وعلموه الناس وتعلموا الفرائض وعلموه الناس, فإني امرؤ مقبوض, وإن العلم سيقبض, وتظهر الفتن حتى يختلف الاثنان فى الفريضة لا يجدان من يقضي بها.

Maksudnya : Pelajariah Al-Quran dan ajarkanlah ia kepada manusia; dan pelajarilah faraid serta ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya aku adalah manusia yang akan digenggam (diwafatkan) dan sesungguhnya ilmu tersebut akan digenggam (dicabut), dan nanti akan timbul fitnah, sehingga dua orang berselisih mengenai pembahagian harta pusaka, dan tidak ada orang yang dapat menyelesaikan antara keduanya

Ibnu Majah dan Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
يا أبا هريرة, تعلموا الفرائض وعلموها, فإنه نصف العلم وهو ينسي وهو أول شئ ينزغ من أمتي.
Maksudnya : Wahai Abu Hurairah, pelajarilah faraid dan ajarkanlah ia (kepada orang lain). Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang akan dilupakan, dan ia merupakan suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.

Kedua-dua hadith di atas merupakan sebahagian daripada galakan kepada kita untuk mempelajari dan mengajar ilmu faraid supaya ilmu ini tidak lenyap dan ditinggalkan. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita bahawa jika ilmu ini tidak diambil peduli ia akan cepat dilupai dan mula-mula akan dicabut dari umatnya.

HUKUM & KEPENTINGAN FARAID

PENGERTIAN FARAID

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.

Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak (seperti anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris samada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dll) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

HUKUM BERKENAAN FARAID

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah. Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana ALLAH sebagai pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.

Di dalam surah An-Nisa’ ayat 11-13 telah menerangkan tentang kaedah pembahagian Faraid dengan jelas, manakala dalam surah yang sama ayat yang ke-14 Allah telah mengecam manusia yang beriman sekiranya ingkar dengan perintah ALLAH ini.
Maksud surah An-Nisa’ (ayat 14):
“Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentutan-ketentuan-Nya, nescaya ALLAH akan memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan”.
Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya umat Islam itu ingkar dengan ketentuan ALLAH, maka ALLAH akan melemparkannya ke dalam api neraka selama-lamanya. Ini menunjukkan bahawa suatu ancaman yang amat berat bagi mereka yang mengabaikan pelaksanaan hukum Faraid dalam pembahagian harta pusaka.

Peringatan:

Sekiranya pembahagian Faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku:
· Memakan harta anak yatim
Memakan harta saudara-mara
Memakan harta Baitulmal

TUNTUTAN BELAJAR ILMU FARAID

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ianya adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut dari umatku.
– Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.
– Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud

PERLAKSANAANNYA MASAKINI

Walaupun hukumnya adalah jelas WAJIB, namun realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM38 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Begitu juga mengikut laporan KWSP, lebih daripada RM70 juta wang KWSP tidak dituntut oleh waris. Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan mereka yang berhak dan layak tidak mendapat bahagian mereka. Ini juga bermakna sistem faraid tidak berjalan dengan baik pada ketika ini. Timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?

Di samping itu begitu banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah di atas. Lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Ilmu Faraid. Bookmark the permalink.

3 Responses to Kuliah Faraid Siri 3

  1. Pratikal Faraid,

    saya telah bertugas diPejabat Tanah diPahang beberapa tahun semasa berkhidmat sebagai PTD, apa yang menarik segala teori sistem faraid islam kita sepatutnya dilaksanakan oleh Pegawai Puasaka yang ditempatkan diPejabat Daerah, namun tidak digunakan sepenuhnya oleh orang kita,kadang-kadang apa yang saya perhatiankan pada nama milik daftar pejabat tanah pemilikan tanah kepada anak perempuan lebih dari apa yang dimiliki oleh anak lelaki, atas alasan nak beri pada dia sebab menjaga mereka, adalah ini wajar?.Sila renungkan.

    Dr Aminudin

  2. cikgusaiful berkata:

    ilmu faraid ialah ilmu pewarisan harta pusaka islam. Ianya merupakan perintah Allah SWT sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an pada ayat 11 dan 12 dalam surah an-Nisa’. Melalui ilmu ini, kita akan dapat mengenali ilmu nasab, ilmu hisab, perancangan kewangan, pengurusan jenazah dan banyak lagi sekiranya kita betul-betul ingin mempelajarinya.
    Masalah yang berlaku dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia ialah terlalu bergantung kepada organisasi seperti pejabat ugama dan tidak mahu hendak mempelajarinya sendiri. Justeru ilmu faraid ini dianggap jauh dan semakin dilupakan….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s