GEMBIRA MELAKUKAN MAKSIAT SUATU BALA MASA KINI

GEMBIRA MELAKUKAN MAKSIAT (HIBURAN MELAMPAU)

Maksiat ialah segala jenis perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT dan syariat Islam yang mana pelakunya akan diberikan dosa oleh Allah SWT. Ia termasuk di dalam perbuatan keji dan kotor yang menjadi amalan syaitan. Orang yang melakukannya dikira sebagai orang yang berani menentang larangan dan melanggar perintah Allah. Antara contoh perbuatan maksiat ialah zina, judi, minum arak, melawan kedua ibubapa, melakukan kerja sia-sia seperti menggilai hiburan dan lain-lain lagi.

Trend terkini masyarakat Melayu/Islam ialah menggilai hiburan atau taksub terhadap hiburan. Kecenderungan masyarakat Melayu/Islam memuliakan program hiburan dari sehari ke sehari amat merimaskan dan membimbangakan orang yang sihat iman dan waras fikirannya. Terlalu banyak hiburan melampau yang ditayangkan di dalam rancangan televisyen yang boleh ditonton oleh masyarakat umum dan kanak-kanak.

Di sana sini, golongan remaja, kanak-kanak dan orang tua heboh menceritakan kegilaan dan taksub terhadap Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Konsert Sureheboh TV3, Audition dan Who Will Win. Mereka secara terang-terangan menangisi peserta yang kalah di dalam pertandingan tersebut. Yang tua sama sahaja meratapi peserta yang diumumkan kalah. Lebih malang lagi yang muda berpesta tangisan dan berpeluk-pelukan dengan bukan mahram tanpa sedikitpun rasa segan silu dan bersalah. Yang berada di pentas juga berpeluk-pelukan tanpa mengenal sempadan dan batasan sebagai seorang Islam. Zaman para sahabat dahulu, mereka merintih dan menangis kerana tidak dapat turut serta berjuang di medan perang bersama Rasulullah SAW. Para sahabat menangis sedih jika tidak dipilih untuk berperang kerana terlepas satu peluang untuk mati syahid.
Remaja Melayu/Islam menangis sedih sambil berpelukan dengan bukan mahram kerana tidak menang dan terpilih sebagai penyanyi dan penghibur. Orang yang ada sedikit kewarasan dan saki baki iman di dada akan berdetik di hatinya untuk berkata: “apa sudah jadi dengan anak bangsaku”

Baru-baru ini melalui sebuah akhbar daily dot com. seorang pekerja (pengutip sampah) telah datang dan membuat laporan kepada akhbar tersebut, beliau dan rakan setugasnya yang lain menjumpai sebanyak 540 kondom di tapak pertunjukan Konsert Sureheboh TV3 di salah sebuah negeri di utara negara kita. Lebih memeranjatkan kebanyakan kondom tersebut menunjukan kesan telah digunapakai dan 16 daripadanya berisi air mani. Berdasarkan kejadian seumpama ini, iktibar yang boleh diambil ialah sebarang bentuk hiburan yang melampau itu adalah melalaikan dan menjadi penggalak kepada maksiat yang lain termasuk zina.

Melihat kepada kegilaan yang luar biasa dan taksub di kalangan penonton yang menyaksikan persembahan peserta wujud satu fenomena baru dalam masyarakat Melayu/Islam hari ini iaitu terlalu banyak berseronokan dan amat kuat berhibur.
Cuba kita renung hadis Rasulullah SAW yang berbentuk futuristik ini yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “umatku akan ditimpakan penyakit yang pernah menimpa umat yang terdahulu” Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, “apakah penyakit umat terdahulu itu”. Rasulullah SAW menjawab: “terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan har
ta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam mencari harta dunia, cepat marah dan hasud menghasud sehingga berlaku kezliman”.
Hadis diriwayat oleh Hakim

Berdasarkan hadis ini, salah satu perkara yang menjadi penyebab kehancuran dan kemusnahan umat yang terdahulu ialah kerana terlalu banyak berseronok dan kuat berhibur. Yang peliknya 95 peratus peserta adalah masyarakat Melayu/Islam. Penontonnya pula hampir semunya Melayu/Islam. Inilah satu penyakit baru yang sedang melanda masyarakat Melayu/Islam. Apakah tidak terfikir bahawa satu hari nanti masyarakat Melayu/Islam bakal dimusnahkan oleh Allah SWT seperti umat yang terdahulu.

Cuba kita tanya mereka, kenalkan mereka kepada pejuang Islam yang syahid di medan perang. Kenalkakah mereka terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Kenalkah mereka terhadap Rasulullah SAW itu sendiri. Mungkin mereka tidak pernah mendengar nama-nama besar di dalam sejarah Islam seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan, Ali bin Abi Tholib, Amru al-Ash, Zubair al-Awwam, Zaid bin Thabit, Zaid bin Haritsah, Khalid al-Walid, Hamzah bin Abdul Mutalib, Saad bin Abi Waqas dan banyak lagi.

Tanyakan pula pada mereka apakah mereka kenal dengan peserta popular Akademi Fantasia atau penyanyi popular Barat. Sudah pasti jawapanyanya kenal dan teramat kenal. Mereka pasti kenal penyanyi berimej seks seperti Britney Spears, semua penyanyi Linkin Park dan banyak lagi. Mereka bukan setakat kenal malah mengikuti dan menghayati gaya hidup seharian artis popular ini. Para artis dimuliakan dan disanjung tinggi dan mendapat tempat di hati mereka. Lebih parah lagi mereka jadikan artis sebagai idola. Di dalam hal ini Rasulullah SAW ada memberi ingatan tentang perkara yang menyebabkan bala segera diturunkan ke atas sesuatu umat: Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Daripada Ali bin Abi Tholib R.A. Rasulaullah SAW bersabda: Apabila umatku telah membuat lima belas perkara maka bala pasti akan turun ke atas mereka: apabila harta negara beredar pada orang-orang tertentu sahaja, apabila amanah dijadikan sebagai satu sumber keuntungan, apabila zakat dijadikan hutang, apabila suami memperturutkan segala kehendak isteri, apabila anak derhaka kepada ibunya, apabila anak-anak hanya mendengar cakap kawan-kawannya, apabila anak-anak menjauhkan diri daripada bapanya, apabila suara ditinggikan di dalam masjid, apabila orang yang menjadi ketua bagi sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di kalangan mereka, apabila seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya, apabila arak sudah diminum di serata tempat, apabila kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki, apabila artis disanjung dan dimuliakan, apabila muzik banyak dimainkan orang dan apabila generasi akhir umat melaknat dan menyalahkan generasi para sahabat” .
Hadis diriwayatkan oleh Tarmizi.

Mudahnya orang Melayu Islam mengangkat hiburan dan artis ke tahap tertinggi sukar difahami. Inilah natijahnya jika tiada lagi elemen Islam yang diketengahkan oleh media kepada masyarakat. Kalau ada pun sekitar setengah jam sekadar melepas batuk di tangga dan tidak mahu dikatakan tidak mempedulikan langsung hal-hal agama. Jika hendak dibandingkan jumlah jam siaran program taksub hiburan dengan program agama dan kerohanian terlalu jauh bezanya. Kita berasa hairan di negara maju seperti Jepun dan Korea tidak langsung menayangkan program hiburan yang kertelaluan dan taksub ini. Program televisyen mereka lebih kepada program membina jati diri dan pembangunan minda serta rohani. Apakah pihak yang berwajib terutamanya yang ditugaskan menjaga agama tidak sedar atau buat-buat tidak sedar demi menjaga kedudukan, pangkat dan survival diri masing-masing.

Fenomena remaja Melayu/Islam kurang minat dan malas belajar tetapi hanya minat berhibur terutamanya menyanyi untuk cepat kaya merupakan salah satu implikasi besar daripada program hiburan yang melampau ini. Memetik kenyataan Pengerusi Institut Pengemblingan dan Pembangunan Komuniti (Impak) Haji Mahfuz Omar berkata: rancangan untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam dunia hiburan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Audition dan Who Will Win yang disiarkan di dalam televisyen sebenarnya adalah untuk menghalang remaja Melayu/Islam daripada menuntut ilmu dan belajar. Ini menggambarkan remaja tidak perlu lagi belajar tinggi, tetapi dengan hanya menyanyi mereka sudah dapat glamour dan boleh kaya. Fenomena remaja Melayu/Islam suka mencari glamour perlu juga difikirkan sebab musababnya.

Kalau diteliti sebahagian rancangan di televisyen kita merupakan rancangan “tangkap muat” sahaja. Rancangan ini dicedok secara membuta tuli daripada rancangan televisyen Barat (Amerika) yang rendah nilai moralnya. Contohnya rancangan hiburan Malaysian Idol dicedok daripada rancangan American Idol. Rancangan ini diimport kemudian ditiru oleh pengusaha rancangan hiburan tempatan tanpa memikirkan apakah kesan negetif terhadap pembangunan agama, bangsa dan negara. Inilah bahananya apabila orang yang menyediakan rancangan dengan yang menyiarkannya hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata. Jika melihat dan berfikir secara lebih halus lagi maka akan didapati bahawa stesyen televisyen kita langsung tidak mempunyai sebarang idea untuk membentuk akhlak murni dan pembangunan minda masyarakat khususnya golongan remaja.

Jika dibandingkan dengan siaran televisyen di Jepun dan Korea, siaran televisyen kita jauh ketinggalan daripada pelbagai sudut. Cuba kita lihat bagaimana anak-anak muda Jepun meminati dan bertekad untuk menjadi seorang ahli gusti sumo professional. Di Jepun gusti sumo adalah sukan professional dan boleh dijadikan sebagai satu sumber pendapatan yang sangat lumayan. Untuk menjana minda masyarakat terutamanya remaja supaya meminati sukan ini satu saluran khas televisyen disediakan tanpa henti setiap hari.Begitu juga dengan sukan basebol ada siaranya dua puluh empat jam sehari semalam. Saluran hiburan amat terbatas hanya disediakan rancangan hiburan ringan dan tidak melampau. Dalam bahasa yang mudah di negara Jepun siaran hiburannya dikawal rapi oleh pemerintah.

Senerio semasa yang berlaku ini menimbul beberapa persoalan yang perlu kita fikirkan bersama. Apakah dengan begitu banyak rancangan hiburan melampau ini akan dapat membina “nation building”atau pembinaan bangsa. Bagaimanakah rupa bentuk bangsa yang hendak dibina melalaui hiburan yang melampau ini. Apakah ini merupakan satu helah untuk melalaikan masyarakat Melayu/Islam khususnya remaja daripada memikirkan perkara sebenar yang sedang berlaku di dalam negara, Apakah ini merupakan trend terbaru masyarakat Melayu/Islam khususnya remaja amat suka berhibur dan taksub hiburan. Apakah kelas dan tahap pemikiran cendikawan Melayu/Islam khususnya pencinta budaya yang langsung sepi dan sunyi daripada memberi sebarang komen terhadap hiburan melampau ini. Apa pula komen orang-orang yang diberi amanah dan dipertanggungjawabkan menjaga agama Islam di negara ini. Apa sebenarnya peranan media khususnya media elektronik. Akhir sekali satu soalan cepuemas yang perlu dijawab oleh pengamal media di negara ini. Apakah tidak terfikir oleh kita semua yang berbangsa Melayu/Islam bahawa terdapat satu usaha yang halus dan terancang untuk memusnahkan kita melalui hiburan melampau ini.

Sekiranya kita masih mengingati kisah Perang Salib (The Crusades) mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita mencari jawapannya. Perang Salib (The Crusades) berlaku sekitar tahun 1096M hingga 1291M (489H-664H) iaitu selama 195 tahun. Inilah peperangan yang paling lama tercatat di dalam sejarah peradaban manusia. Peperangan ini berlaku di antara umat Islam dengan tentera Kristian. Peperangan ini dimenangai oleh umat Islam dan tentera Kristian secara silih berganti dan akhirnya dimenangi oleh umat Islam. Nama-nama besar pemimpin Islam seperti Sultan Syarafuddin Maulud, Sultan Najamuddin Ilghari, Sultan Nuruddin Buluk, Sultan Imaduddin Zanki, Sultan Zahir Baybars dan Sultan Sallehuddin al-Ayyubi tidak akan dilupai bagi mereka yang pernah membaca sejarah ini. Begitu juga nama-nama raja Kristian seperti King Godfery, dan saudaranya Baldwin, King Count Raymond, King Graaf Toulouse Bohemond, King Frederick Barbarossa, King Richard The Lion Heart dan King Louis tidak akan dilupai kerana kekejamannya membunuh umat Islam.

Ketika tentera Kristian dipimpin oleh King Louis dari Perancis yang telah dikepung oleh umat Islam pada Ogos 1291M di Baitulmakdis beliau sempat menulis tentang Perang Salib berbunyi: “Kita sebenarnya telah melakukan banyak kesilapan menentang umat Islam secara terbuka. Mereka berperang kerana jihad dan inginkan kematian di medan perang, sedangkan kita berperang kerana arahan raja-raja Kristian semata-mata dan takutkan kematian. Walau bagaimanapun kita akan terus menentang umat Islam hingga hari kiamat dengan peperangan halus dan lembut” Tulisan tangan King Louis ini telah diperbuat dengan tinta emas dan disimpan di Leiden, Belanda hingga ke hari ini. Peperangan Salib telahpun tamat tetapi peperangan untuk memusnahkan umat Islam secara halus dan lembut ini sedang giat diusahakan.

Imam Besar Masjidi Aqsa, As-Syeikh As’ad Bayudh At-Tamimi pernah menulis tentang impian Yahudi dan Kristian untuk memusnahkan umat Islam dengan peperangan halus dan lembut ini. Antara strategi tersebut ialah melalaikan umat Islam dengan segala bentuk hiburan, memperbanyakan pelbagai jenis pertandingan ke atas umat Islam, merekacipta pelbagai jenis “games” (komputer game) dan dilambakkan ke atas umat Islam, melabelkan umat Islam yang kuat beribadat dengan gelaran ekstrimis, mempopularkan istilah fundamentalis, ekstrimis, puak pelampau, pengganas kepada mereka yang berjihad di medan perang menentang musuh Islam, mengangkat para pemimpin di kalangan umat Islam yang tidak cintakan Islam dan banyak lagi.

Segala macam peperangan halus dan lembut ini telah berjaya mengubah corak hidup umat Islam. Di antara perubahannya ialah menjadikan mereka begitu taksub dengan hiburan termasuk orang Melayu/Islam. Ada juga di kalangan umat Islam begitu membenci sebarang gerakan Islam dan amat mudah melabelkan gerakan Islam ini dengan label yang buruk seperti ekstrimis, puak pelampau, puak pengganas, puak fundamentalis dan banyak lagi. Inilah strategi halus dan lembut yang telah berjaya meresap masuk ke dalam jiwa kebanyakan umat Islam tanpa disedari.

Apakah tidak terlintas sedikitpun di dalam fikiran kita bahawa segala bentuk hiburan melampau di televisyen kita hari ini adalah satu bentuk peperangan halus dan lembut untuk memusnahkan umat Melayu/Islam. Cubalah kita fikirkan mengapa sejak kebelakang ini rancangan seumpama ini semakin menjadi-jadi dan mendapat tempat arus perdana di televisyen kita. Ianya seolah-olah dirancang sebegitu rupa sehingga tiada sesiapa yang menegur kesan negetifnya terhadap “nation building” termasuk pihak yang berwajib. Secara jujur dan berterus terang kita harus menerima hakikat bahawa umat Melayu/Islam khususnya golongan remaja sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap Yahudi dan Kristian ini.

Kita renung bersama kata-kata Prof Dr Yusuf Qardahwi: “kalau ingin melihat rupa bentuk sesuatu bangsa pada masa akan datang lihatlah remajanya hari ini”. Beliau juga berkata: “petanda sesuatu bangsa akan musnah, terlebih dahulu musnah akhlaknya”. Bangsa Melayu/Islam khususnya golongan remaja menepati ciri-ciri bangsa yang bakal dihancurkan kerana akhlaknya telahpun musnah, Tidak mustahil bangsa Melayu/Islam akan menjadi satu bangsa yang bakal terhapus sebagaimana umat terdahulu yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT kerana terlalu banyak berseronok dan berhibur. Amat malang bagi masyarakat Melayu/Islam sekiranya program seumpama ini tidak dapat dihentikan dalam masa yang terdekat. Tidak ada gunanya kita bercakap soal “nation building” jika di sana sini kita biarkan perkara yang meruntuhkan “nation building” berlaku secara berleluasa. Program hiburan melampau ini sebenarnya bukan setakat mengagalkan “nation building” tetapi akan menghancurkannya. Percaya dan yakinlah orang yang semasa mudanya banyak berhibur dan bergembira di waktu tuanya akan banyak berduka. Masyarakat yang kuat berhibur dan lalai dengan perkara yang mengasyikkan akan berduka akhirnya.

Sebagai kesimpulannya berhibur tidaklah dilarang terus oleh Islam tetapi biarlah kena dengan bentuk dan jenisnya. Hiburan jenis melampau dan taksub ini tentu sahaja dilarang keras oleh Islam. Hiburan yang melampau dan taksub ini menjadi penggalak kepada kegiatan maksiat dan dosa yang lain seperti zina, minum arak, hisap dadah, bergaduh dan sebagainya. Marilah kita sama-sama fikirkan tentang “nation building” pembinaan bangsa bukan dalam bentuk slogan semata-mata tetapi dalam bentuk implimentasinya.

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Tazkirah and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s