Kuliah Faraid Siri 7

WARIS ASABAH

1. Definisi Waris Asabah :

Menurut definisi ilmu pusaka Waris Asabah ialah waris-waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka daripada harta pusaka. Mereka kadangkala menerima semua harta pusaka apabila tiada waris ashab al-furud dan kadangkala tidak memperolehi sebarang harta apabila ia telah dihabiskan oleh ashab al-furud.
Hubungan waris asabah dengan si mati adalah sangat kuat kerana hubungan kekerabatan mereka dipertali atau dihubungkan melalui perantaraan bapa.
Waris-waris asabah ialah mereka yang tidak ditetapkan oleh al-Quran atau al-Sunnah bahagian mereka daripada harta pusaka. Kedudukan mereka dalam pembahagian pusaka adalah selepas waris-waris ashab al-furud, di mana mereka akan menerima baki harta setelah diberikan kepada waris-waris ashab al-furud sekiranya masih ada.

2. Jenis-Jenis Asabah :

Dalam sistem pusaka Islam asabah terbahagi kepada dua jenis :

i. Asabah sababiyyah atau dikenali dengan qarabah hukmiyyah, iaitu asabah bagi orang yang memerdekakan hamba. Orang yang memerdekakan hamba (lelaki atau perempuan) boleh mewarisi daripada hamba yang dimerdekakannya. Tetapi hamba yang dimerdekakan itu tidak boleh mewarisi daripada orang yang memerdekakannya.

ii. Asabah nasabiyyah (keturunan) iaitu waris si mati yang mempunyai hubungan darah (kerabat) dengannya terdiri dariapda golongan lelaki tanpa diselangi oleh perempuan seperti :

a. Anak lelaki.
b. Anak lelaki kepada anak lelaki.
c. Bapa.
d. Bapa kepada bapa (datuk) dan seterusnya ke atas.
e. Saudara lelaki seibu sebapa.
f. Saudara lelaki sebapa.
g. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa.
h. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa.
i. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
j. Bapa saudara sebelah bapa sebapa.
k. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
l. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa sebapa

Atau waris ashab al-furud perempuan ketika bersama-sama dengan saudara lelakinya yang sedarjah seperti (Surah Al-Nisa’ ayat 11 dan 176) :

a. anak perempuan bersama dengan anak lelaki.
b. Anak perempuan kepada anak lelaki bersama dengan anak lelaki kepada anak lelaki.
c. Saudara perempuan seibu sebapa bersama dengan saudara lelaki seibu sebapa.
d. Saudara perempuan sebapa bersama saudara lelaki sebapa.

3. Kedudukan Waris Asabah dalam Undang-Undang Pusaka Islam :

Secara umumnya kedudukan waris asabah dalam pembahagian harta pusaka ialah selepas waris ashab al-furud. Ini bermakna bahawa waris asabah akan menerima baki harta selepas diberikan kepada waris Ashab al-furud jika masih ada atau menerima semua harta apabila ketiadaan waris ashab al-furud.

Secara terperinci kedudukan waris asabah terbahagi kepada 3 jenis :

i. Asabah bi al-nafs (Asabah dengan Dirinya) :

Waris asabah bi al-nafs terdiri dariapda 12 orang iaitu ;

a. Anak lelaki.
b. Anak lelaki kepada anak lelaki.
c. Bapa.
d. Bapa kepada bapa (datuk) dan seterusnya ke atas.
e. Saudara lelaki seibu sebapa.
f. Saudara lelaki sebapa.
g. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa.
h. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa.
i. Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
j. Bapa saudara sebelah bapa sebapa.
k. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa.
l. Anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa sebapa

Mereka akan menerima semua harta jika bersendirian (tanpa waris ashab al-furud), menerima baki harta jika mewarisi bersama-sama dengan waris ashab al-furud dan tidak memperolehi sebarang harta jika ia telah dihabiskan oleh waris ashab al-furud.

Golongan ini terbahagi kepada empat jihat (pihak atau kumpulan) mengikut keutamaan dan urutan dalam pembahagian harta pusaka iaitu ;

Jihat al-bunuwwah (waris furu’), iaitu anak lelaki, anak lelaki kepada anak lelaki dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

Jihat al-ubuwwah (waris usul), iaitu bapa, bapa kepada bapa (datuk) dan seterusnya ke atas selagi tidak diselangi oleh perempuan.

Jihat al-ukhuwwah (waris hawasyi yang hampir), iaitu saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

Jihat al-‘umumah (waris hawasyi yang jauh), iaitu bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa sebapa, anak bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, anak bapa saudara sebelah bapa sebapa dan seterusnya ke bawah selagi tidak diselangi oleh perempuan.

ii. Asabah bi al-ghair (Asabah oleh yang lain) :

Mereka ialah waris ashab al-furud perempuan ketika bersama-sama dengan saudara lelakinya yang sedarjah seperti (Surah Al-Nisa’ ayat 11 dan 176) :

a. anak perempuan bersama dengan anak lelaki.
b. Anak perempuan kepada anak lelaki bersama dengan anak lelaki kepada anak lelaki.
c. Saudara perempuan seibu sebapa bersama dengan saudara lelaki seibu sebapa.
d. Saudara perempuan sebapa bersama saudara lelaki sebapa.

Kedudukan mereka dalam pembahagian harta pusaka adalah berkongsi bersama-sama dengan saudara lelaki mereka seperti mana di atas.
Dalam keadaan ini, mereka tidak boleh lagi mengambil fardhu masing-masing malah akan mengambil baki harta bersama-sama dengan saudara lelaki mereka dengan perimbangan atau kadar satu bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan atau nisbah 2 : 1

iii. Asabah ma’a al-ghair (Asabah bersama dengan yang lain) :

Waris asabah ma’a al-ghair hanya dua orang sahaja iaitu saudara perempuan seibu sebapa atau saudara perempuan sebapa apabila mewarisi bersama-sama dengan ank perempuan keturunan ( anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki dan seterusnya ke bawah).

Kedudukan mereka dalam pembahagian harta pusaka ialah mereka akan menerima baki harta jika masih ada setelah diberikan kepada waris ashab al-furud.

Contoh : si mati meninggalkan seorang isteri, ibu, seorang anak perempuan, seorang anak perempuan kepada anak lelaki dan seorang saudara perempuan seibu sebapa, maka ; seorang isteri mendapat 1/8, ibu mendapat 1/6, seorang anak perempuan mendapat ½, seorang anak perempuan kepada anak lelaki mendapat 1/6 dan seorang saudara perempuan seibu sebapa mendapat bakinya (asabah).

Dalam pembahagian harta pusaka, waris-waris asabah ma’a al-ghair akan mendapat baki harta jika masih ada, sedangkan orang yang mentaksibkannya (anak perempuan keturunan) tetap akan mengambil fardhunya. Ini bermakna bahawa waris asabah ma’a al-ghair tidak akan bersama-sama dengan orang yang mentaksibkannya dalam penerimaan baki harta sebagaimana waris asabah bi al-ghair.

Ada 2 syarat membolehkan saudara perempuan seibu sebapa dan sebapa menjadi asabah ma’a al-ghair :

– Hendaklah mereka mewarisi bersama-sama dengan anak keturunan.
– Tidak ada saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa bersama-sama dengan mereka yang boleh menyebabkan mereka menjadi waris asabah bi al-ghair.

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Ilmu Faraid and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s