SEJARAH PERKEMBANGAN AKIDAH TAUHID DAN CABARANNYA : PENGAJARAN BUAT UMMAH MASAKINI

Kertas kerja ini dibentangkan dalam Seminar Fiqh pada 2 hb Julai 2006 di Grik, anjuran Pejabat Agama Grik. Antara pembentangnya ialah al-Fadhil al-Ustaz Khairuddin at-Takiri

1.0 PENDAHULUAN

Sejak berperanan di atas muka bumi, Islam telah diasak oleh serangan-serangan yang tidak pernah dialami oleh agama lain. Terdapat agama yang pernah menakluk dunia dan menundukkan umat dan tamadun lain, namun ianya tidak dapat bertahan dalam menghadapi serangan yang jauh lebih ringan daripada apa yang terpaksa dihadapi oleh Islam. Berbeza dengan agama lain, Islam bukan sekadar berjaya menangkis serangan-serangan tersebut, tetapi juga dapat terus-menerus memelihara ketulenan identiti keperibadian ciri-ciri dan rohnya yang asli. [1]

________________________________________
[1] Abu al-Hassan cAli al-Nadawi, Rijal al-fikr wa al-dacwah fi al-Islam, Dar al-Qalam, Kuwayt, 1989, hlm. 14.

———————————————

Sepanjang sejarah perkembangan tauhid, kemurniaan akidah sentiasa diancam oleh pelbagai aliran fahaman yang merosakkan iktikad keimanan selain krisis akidah yang melanda ummah. Pada setiap peringkat masa tersebut, pasti muncul tokoh ulama yang berusaha mempertahankan bentuk iktikad yang mewakili kehendak Allah SWT dan rasulNya berdasarkan kefahaman yang sejahtera terhadap al-Qur’an dan hadis.
Para ulama sebagai tokoh ummah tampil sebagai ‘tembok’ tauhid melalui kewibawaan peribadi dan jihad keilmuan sehingga berupaya menyelamatkan ummah dan keadaan. Mereka tampil tatkala ajaran Islam mulai hilang kejernihannya; atau ajarannya mahu dilenyapkan oleh ajaran bidaah dan sesat; atau kesedaran Islam menjadi begitu lemah; setiap kali dirancang usaha oleh pihak yang mahu menyelewengkan dasar-dasar Islam, mengeliru atau memalsukan ajarannya; atau Islam diserang oleh fahaman kebendaan. [1]

Di tangan mereka, aliran-aliran pemikiran bidaah seperti Muctazilah, Batiniyyah, produk penyelarasan falsafah ketuhanan Yunani dengan al-Qur’an, ajaran Din Ilahi dan lain-lainnya berjaya dikuburkan dalam lipatan buku-buku falsafah dan ilmu kalam; manakala amalan khurafat, serangan Tartar, konspirasi Salibiyyah dan Freemason berjaya di’bentengi’ daripada ummah melalui gerakan kesedaran dan jihad ilmu yang berterusan pada zaman masing-masing.

2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN AKIDAH TAUHID SERTA CABARANNYA

2.1 Zaman penurunan al-Qur’an dan peranan baginda sallallahu calaihi wasallam

Sebagai sumber rujukan asasi, al-Qur’an menggariskan dua peranan yang seimbang dalam menangani persoalan akidah tauhid:
i) Pertamanya; membina akidah yang sahih di dalam hati manusia secara pembentangan yang mudah, dapat menjinakkan akal dan memuaskan jiwa. Al-Qur’an menggunakan gaya ungkapan dan dalil yang pelbagai lagi bersesuaian dengan fitrah yang sejahtera. Al-Qur’an menjelaskan segala perkara yang wajib diiktikadkan berhubung keimanan kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, hari akhirat dan qada’ qadar. [2]
ii) Keduanya; meruntuhkan iktikad-iktikad palsu yang bertebaran di kalangan musyrikin dan ahli kitab, sekaligus membidas para penyembah berhala dan bintang serta membatalkan dakwaan pendukung “trinity” (konsep satu Tuhan dalam tiga entiti), dakwaan Yahudi bahawa cUzayr adalah anak Tuhan serta mereka yang mengengkari hakikat ketuhanan, kerasulan dan hari kebangkitan lainnya.
Tambahan pula, baginda s.a.w. turut berperanan menyampaikan akidah yang diwahyukan kepada baginda, memperincikan apa yang umum daripada al-Qur’an dan menjawab segala persoalan yang dihadapkan oleh mereka yang beriman untuk mendapatkan penjelasan; juga persoalan yang ditimbulkan oleh musyrikin dan ahli kitab dengan tujuan menguji baginda s.a.w. Namun adakalanya, al-Qur’an sendiri menangani urusan untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut. [3]
Dari segi yang lain, generasi para sahabat radiyallahu canhum sebagai penganut Islam ketika itu pula memiliki dua keistimewaan utama berbanding generasi Islam selepasnya. Dua ciri itu ialah:
i) pengetahuan dan penguasaan Bahasa Arab yang sunyi daripada sebarang pengaruh cAjam (bukan Arab)
ii) fitrah atau jiwa keIslaman yang jernih lagi sejahtera. [4]
Berbekalkan dua potensi besar ini, mereka tidak bermasalah untuk memahami asas iktikad dan cabang hukum menurut kehendak sebenar Allah SWT dan rasulNya. Mereka tidak memerlukan sebarang pendekatan lain yang berfungsi menjamin tahap keilmiahan dalam memahami al-Qur’an dan sunah. [5]

2.2 Kemunculan aliran bidaah dalam iktikad serta reaksi ulama terhadapnya

Secara umumnya, terdapat dua faktor bagi kemunculan aliran-aliran bidaah selepas kewafatan baginda s.a.w. iaitu:
i) faktor politik, lahirnya mazhab Shicah, Khawarij dan Murji’ah.
ii) faktor perbincangan akidah:
a) berhubung persoalan pemaksaan atau pilihan ke atas perbuatan manusia, lahir mazhab Qadariyyah (perbuatan manusia terserah sepenuhnya kepada manusia) dan Jabariyyah (perbuatan manusia digagahi sepenuhnya oleh Allah SWT) atau Jahmiyyah. [6]
b) berhubung persoalan sifat Allah SWT, lahir mazhab Mujassimah (menjisimkan Allah SWT) atau Mushabbihah (menyamakan Allah SWT dengan makhluk) dan Mucattilah (menafikan sifat Allah SWT).
Era selepas kewafatan Rasulullah (s.a.w.) melakarkan lembaran baru ke atas sejarah perkembangan Islam. Diriwayatkan bahawa pemerintahan Bani Umayyah menggalakkan pemikiran al-Jabr (manusia digagahi oleh Allah SWT) demi membenarkan kezaliman mereka. Sebagai tindak-balasnya pula, muncul golongan pada zaman tabiin yang diketuai oleh Macbad bin cAbd Allah al-Juhani yang menolak fahaman tersebut, lantas melahirkan pula pandangan bahawa manusia memiliki kebebasan yang penuh dalam menentukan perbuatannya. Beliau berjaya menanam ‘bibit’ fahaman Qadariyyah yang dianutnya sebelum dihukum penjara sehingga mati pada tahun 80 H oleh Hajjaj.
Sebagai tindak-balasnya, bangkit pula al-Jacd bin Dirham (meninggal sekitar tahun 118 H) dan Jaham bin Safwan (meninggal sekitar 128 H) dalam membidas aliran Qadariyyah, lantas muncul pula fahaman Jabariyyah atau Jahmiyyah [7] pada awal kurun kedua. [8] Selain itu, beliau turut menafikan sifat Allah SWT, bahkan beliau – al-Jahm – merupakan orang pertama yang beriktikad dengannya. [9] Beliau terlampau menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk sehingga mengatakan bahawa Allah SWT itu bukanlah sesuatu. [10] Dakwanya, sesiapa yang menyifatkan Allah SWT dengan sebarang sifat yang disifatkan sendiri olehNya di dalam al-Qur’an atau hadis merupakan seorang mushabbih. [11]
Dalam perkembangan yang lain, kemasukan berbondong-bondong para penganut Yahudi, Kristian dan Majusi ke dalam Islam dengan meninggalkan agama asal masing-masing merupakan gambaran manfaat daripada pembukaan wilayah yang baru. Namun di sebalik itu, turut terselit usaha penyusupan ‘jarum-jarum halus’ dengan tujuan menyemai ‘benih-benih’ kesangsian terhadap kebenaran dan kemurniaan tauhid.
Melalui penyusupan halus secara menzahirkan keIslaman, para pendita Yahudi, rahib Nasrani dan ahli agama Majusi mulai menyebarkan dongeng purbakala dan riwayat palsu yang mengandungi unsur tajsim dan tashbih (penjisiman dan penyamaan Tuhan denga makhluk). Fitnah ini bermula sejak zaman khulafa’ al-rashidin lagi, ketika mana masyarakat awam Islam masih lagi jahil dan lemah keimanannya. Tambahan pula, perkhabaran tersebut disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. – secara sengaja atau tidak – dan juga serasi dengan ajaran berhala Arab Jahiliah, maka konsep tashbih menjadi semakin berleluasa. [12]
Dalam suasana genting inilah para ulama terbilang ini berperanan mengusahakan penyusunan semula sistem pemikiran dan iktikad yang berdasarkan prinsip ajaran baginda s.a.w. demi memelihara kesejahteraan akidah. Sebarang usaha untuk mengenal-pasti identiti mereka ini perlulah ditinjau dari sudut reaksi atau tindak-balas mereka dalam membendung pengaruh aliran-aliran bidaah.

Turut sama dalam usaha mempertahankan iktikad yang murni ini ialah empat orang imam besar yang terkenal sebagai pengasas mazhab fikah masing-masing iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Shafici dan Imam Ahman bin Hanbal. Mereka bukan sekadar ‘berpeluk tubuh’ memerhatikan krisis akidah tauhid yang melanda, sebaliknya turut terlibat mengemukakan pendirian masing-masing terhadap persoalan-persoalan yang menggugat kesejahteraan akidah tersebut.

Sebagai contoh, ketikamana berleluasanya fitnah Jahmiyyah yang menyebarkan tactil dan pengengkaran sifat Allah serta kemakhlukan al-Qur’an, muncul tokoh-tokoh seperti Imam Malik, Sufyan bin cUyaynah dan cAbd Allah bin al-Mubarak yang telah mendedahkan kesesatan pendapat yang bercanggah dengan al-Qur’an dan sunah serta nas-nasnya yang jelas itu. [13] Sebilangan besar ulama salaf pada kurun ketiga dan keempat telah mengarang karya-karya agung dalam menyanggahnya, sekaligus membela dan menegakkan iktikad Ahl al-Sunnah wa al-Jamacah. [14] Berikut adalah sejumlah tokoh tersebut yang telah berjasa besar menunaikan amanah ilmu masing-masing:

1) Imam Hassan al-Basri

Beliau dilahirkan pada tahun 21 H. Bapanya ialah Yasar, bekas hamba kepada Zaid bin Thabit, sahabat nabi s.a.w. yang terkenal. Ibunya pula ialah Khairah, bekas hamba kepada Ummu Salamah, isteri nabi s.a.w. Beliau juga banyak bertemu dan berguru daripada para sahabat baginda s.a.w. [15]

Sebagai pembimbing ummah, beliau turut mengikuti perkembangan semasa dan corak perubahan yang sedang dilalui oleh masyarakat Islam, khususnya zaman beliau adalah zaman kekayaan dan kemewahan Bani Umayyah. Beliau amat sedar tentang penyakit, kekurangan dan penyelewengan yang meresap masuk ke dalam masyarakat serta cara-cara untuk memulihkannya. [16]

Zaman beliau memperlihatkan berleluasanya penyakit nifaq. Kejayaan tentera Islam menguasai jajahan-jajahan yang luas melahirkan satu lapisan masyarakat yang memeluk Islam kerana keuntungan duniawi tetapi gagal mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Mereka juga kekurangan didikan Islam serta mewarisi banyak tradisi Jahiliyyah terdahulu. Golongan atasan dan pemerintah pula beransur-ansur mengikut cara hidup Jahiliyyah. Kemewahan dan keseronokan hidup, hasad dengki serta keinginan yang kuat terhadap harta dan kuasa telah menawan jiwa masyarakat. [17]

Dari sudut yang lain, beliau terpaksa membendung gejala bidaah dengan melibatkan diri secara aktif menolak pendapat-pendapat mereka yang mengelirukan. Melalui majlis-majlis ilmu dan pengajian, beliau banyak membincangkan persoalan akidah tauhid. Risalah-risalah turut disebarkan oleh beliau. Bahkan, pihak pemerintah turut sama menerimanya. Tindakan beliau ini menunjukkan bahawa persoalan ini bukan sahaja mesti ditangani oleh diri individu, tetapi juga semua pihak termasuk pemerintah. [18]

________________________________________
[1] Al-Nadawi, Pendukung panji-panji Islam sepanjang zaman (jilid 1), IPTI, Kuala Lumpur, 1992, hlm. 27-28.
[2] Muhammad Rabic Muhammad Jawhari, Iqtinas al-cawali min iqtisad al-Ghazali, Dar al-Ictisam, t.tp., 1998, hlm. 12.
[3] ibid., hlm. 12.
[4]Muhammad Said Ramadan al-Buti, al-Salafiyyah: marhalah zamaniyah mubarakah la madhhab Islami, Dar al-Fikr, Dimashq, 1998, hlm. 27 & 28.
[5]ibid., hlm. 27 & 28.
[6] Muhammad Rabic Muhammad Jawhari, Iqtinas al-cawali min iqtisad al-Ghazali, hlm. 20.
[7] Muhammad Rabic Muhammad Jawhari, Iqtinas al-cawali min iqtisad al-Ghazali, hlm. 20
[8] Jalal Muhammad Musa, Nash’ah al-Ashcariyyah wa tatawwuruha, hlm. 19. Jaham bin Safwan meninggal pada tahun 128 Hijrah. Dia sangat terpengaruh dengan ajaran falsafah, Yahudi, Sa’ibah dan Buddha dan giat melebarkan pengaruhnya di Turmuz, Kufah dan Harran.
[9] Ahmad bin Hanbal, al-Bukhariyy, Ibn Qutaybah & al-Darimiyy, cAqa’id al-salaf, hlm. 18. Menurut catatan sejarah, Jahmiyyah – melalui al-Jacd bin Dirham – adalah asal kepada Muctazilah dalam melakukan tactil. Namun, terdapat perbezaan di antara kedua-duanya. Muctazilah menafikan sifat sambil menetapkan nama Allah, manakala Jahmiyyah pula menafikan kedua-duanya sekaligus. Muctazilah adalah lebih bersederhana dalam tactilnya berbanding Jahmiyyah. Muctazilah menafikan sifat qadim yang za’idah (bertambah) di atas zat. Namun, mereka menetapkan pula sifat macnawiyyah yang wajib bagi zatNya tetapi bukan sebagai sifat yang berdiri pada zat. Lantas, mereka mengengkari sifat macani iaitu sifat yang berdiri pada zat. Lihat al-Huwayni, Qadiyyah al-sifat al-ilahiyyah wa atharuha fi tashacub al-madhahib wa ikhtilaf al-firaq, hlm. 66, 69 & 86.
[10] ibid., hlm. 20.
[11] ibid., hlm. 21.
[12] Abu al-Qasim cAli bin al-Hassan bin cAsakir, Tabyin kadhib al-muftari sunt. Muhammad Zahid al-Kawthari, Dar al-Fikr, Dimashq, 1399 H, hlm. 10. Di antara golongan awal yang mendukung fahaman Mushabbihah ini ialah Hashawiyah di kalangan ahli hadis dan juga Shicah yang ghulah (melampau). Hashawiyah pada asalnya merupakan gerombolan perawi hadis menghadiri majlis ilmu al-Hassan al-Basri, seorang tokoh besar tabiin. Tatkala mereka bercakap-cakap mengenai perkara yang sia-sia di sisi beliau, al-Hassan al-Basri meminggirkan mereka di pinggiran halakah tersebut, lantas mereka digelarkan sebagai al-Hashawiyah (golongan pinggiran). Mereka berbicara mengenai Allah dengan apa yang tidak diharuskan syarak dan akal dalam mengisbatkan pergerakan, perpindahan, had batasan, pihak, duduk, bertemu, menetap dan sebagainya terhadap Allah yang diambil daripada ajaran golongan Thanawiyyah dan ahli kitab. Lihat Ibn cAsakir, Tabyin kadhib al-muftari, hlm. 11 & 14.
Mereka sepakat menggambarkan bahawa Tuhan memiliki anggota, potongan – elemen – rohani atau jasmani, harus baginya berpindah-pindah, turun, naik, menetap dan berdiam diri. Contohnya, terdapat beberapa riwayat yang melaporkan bahawa Hisham al-Hakam, seorang mutakallimin Shicah yang mendakwa bahawa Allah mempunyai bahagian dan kadar tertentu tetapi tidak menyerupai sesuatupun daripada makhluk. Juga, Allah adalah ‘bersaiz’ tujuh jengkal menurut ukuran jengkalNya sendiri, berada di tempat dan sudut yang khusus serta bergerak secara berpindah-pindah tetapi bukan dari suatu tempat ke tempat yang lain. Selain itu, Allah juga bersinggungan atau bersentuhan dengan ArasyNya dalam keadaan tidak melebihi sedikitpun daripada Arasy dan Arasy juga tidak melebihiNya walau sedikitpun.
Manakala kalangan Hashawiyah ahli hadis pula seperti Mudar, Kahmas dan al-Hujaymi, terdapat riwayat bahawa mereka mengharuskan Allah bersentuhan, bersalaman dan memeluk Muslimin di dunia dan akhirat apabila mereka mencapai tahap keikhlasan yang tinggi secara latihan kerohanian. Menurut mereka lagi, melihat Allah adalah harus di dunia lagi sepertimana harus juga bagi Allah dan manusia untuk saling ziarah-menziarahi. Gambaran mereka secara fizikal inilah yang kemudiannya menjadi perintis bagi mazhab hulul dan ittihad selepasnya. Lihat al-Huwayni, Qadiyyah al-sifat al-ilahiyyah wa atharuha fi tashacub al-madhahib wa ikhtilaf al-firaq, hlm. 103 & 105.
[13] Ahmad bin Hanbal, al-Bukhariyy, Ibn Qutaybah & al-Darimiyy, cAqa’id al-salaf sunt. cAli Sami al-Nashshar & cAmmar Jamci al-Talibi, Munsha’ah al-Macarif, Iskandariyyah, 1971, hlm. 7.
[14] Di antaranya ialah Ahmad bin Hanbal (meninggal 241 H), Muhammad bin Ismacil al-Bukhari (meninggal 256 H), cAbd Allah bin Muslim bin Qutaybah (meninggal 276 H), cUthman bin Sacid al-Darimi (meninggal 280 H) dan Muhammad bin Ishaq bin Khuzaymah (meninggal 311 H). Lihat Ahmad bin Hanbal, al-Bukhariyy, Ibn Qutaybah & al-Darimiyy, cAqa’id al-salaf, hlm. 5-6 dan al-Jalaynid, Manhaj al-salaf bayna al-caql wa al-taqlid, Dar Quba’, al-Qahirah, 1999, hlm. 89.
[15] al-Nadawi, Rijal al-fikr wa al-dacwah fi al-Islam, juz’ 1, hlm. 56.
[16] Al-Nadawi, Pendukung panji-panji Islam sepanjang zaman (terj.), hlm. 68.
[17] ibid., hlm. 68.
[18] Mohd Sulaiman Yasin, Ahlis-sunnah wal-jama’ah, hlm. 137

Advertisements

About guabama

Seorang guru biasa
This entry was posted in Aqidah and tagged . Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s